Oh Tuhan...Aku Bertaubat ( Iktibar : Kisah Benar )
by Abu Hanifah on Facebook.com
AKU mempunyai seorang anak perempuan. Anak itu amat menghiburkan hati. Telatahnya melucukan.
Aku begitu rapat dengannya. Pernah suatu ketika, anak kecil itu datang padaku dan menarik lengan baju sehingga arak tertumpah ke atas bajuku. Tetapi kerana terlalu kasih akan anak itu, aku langsung tidak memarahinya.
Sayangnya, anak ini meninggal ketika umurnya genap dua tahun. Hatiku sangat hiba sejak kehilangannya. Sejak hari itu hidupku tidak teratur. Arak menjadi teman setia. Suatu waktu, dalam keheningan malam Jumaat pada pertengahan Syaaban, aku berhibur-hibur dengan arak. Seteguk demi seteguk airnya aku habiskan sehingga mabuk dan tertidur. Entah mengapa tidurku begitu nyenyak.
Tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat dahsyat. Dentumannya sungguh menakutkan. Serentak itu juga, seluruh manusia berpusu-pusu keluar berkumpul di suatu kawasan lapang. Aku berasak-asak di celah-celah manusia lain menyertai mereka menuju ke tempat tersebut.
Dalam hiruk-pikuk manusia yang tidak terbilang itu, aku terdengar satu suara aneh. Aku menoleh sedikit. Alangkah terperanjatnya apabila mendapati seekor ular yang sangat besar betul-betul di belakangku. Mulutnya terbuka luas seperti hendak menelanku.Ular yang menggerunkan berwarna hitam kebiru-biruan itu mengangakan mulutnya bersedia untuk memakan aku.
Aku yang ketakutan berlari sekuat hati. Aku hanya berlari dan terus berlari. Di pertengahan perjalanan itu, aku terserempak dengan seorang lelaki tua. Baunya sangat harum. Pakaiannya pula bersih sekali. Aku memberi salam kepadanya lalu dibalas salamku.
"Tolonglah aku pak cik!" pintaku penuh harapan. "Ular itu hendak memakanku, selamatkanlah aku pak cik," rayuku lagi.
Matanya memandangku penuh belas kasihan, lelaki tua itu berkata, "Ular itu lebih besar dan kuat dariku. Bagaimana aku dapat membantumu sedangkan aku lemah tidak berdaya..."Lelaki tua itu menangis melihatku.
"Mudah-mudahan Allah menolongmu," kata lelaki tua itu lagi terus berlalu.Tanga menunggu lebih lama, aku terus berlari menyelamatkan diri daripada ular besar yang sedang menghambatku. Akhirnya aku sampai ke satu tempat yang tinggi. Aku berlari mendakinya. Sampai sahaja di puncak, aku tunduk ke bawah. Aku dapat melihat dengan jelas, beberapa tingkat kawah berapi terbentang luas di dalamnya.,Apinya menjulang-julang.
Ular itu semakin dekat sedangkan tiada ruang lagi untukku melepaskan diri. Selangkah ke depan, aku pasti terhumban ke dalamnya. Akan hancur luluhlah tubuhku dalam kawah berapi.Pada saat yang genting itu tiba-tiba terdengar suatu suara memanggil namaku. Aku terkaku."Kembalilah! Jangan teruskan lagi," kata suara itu. "Kau tidak termasuk di kalangan mereka," sambung suara itu.
Sebaik sahaja mendengar suara ghaib itu aku terus berpatah balik. Dalam perjalanan, sekali lagi aku terserempak dengan lelaki tua yang kelihatan sangat lemah itu.
"Aku benar-benar memerlukan pertolonganmu. Selamatkanlah aku pakcik," aku merayu.
Orang tua itu menangis. "Aku tidak berdaya membantumu. Pergilah ke gunung itu. Mungkin ada yang dapat melepaskan kamu dari ular itu."
Aku berpaling melihat gunung yang ditunjukkan oleh lelaki tua itu. Di atasnya terdapat binaan yang diperbuat daripada perak. Di dalamnya terdapat terowong yang tertutup dengan kain. Pintu yang menutupi terowong itu pula diperbuat daripada emas manakala engselnya daripada zamrud dan pakunya daripada mutiara. Setiap daun pintu itu dihiasi sutera yang indah.
Aku terus sahaja berlari ke arah gunung yang ditunjukkan oleh lelaki tua itu. Ular itu masih lagi mengejarku dari belakang.
Sebaik sahaja kakiku hampir dengan gunung tersebut, tiba-tiba aku terdengar suatu suara berkata, "Bukakanlah pintunya dan angkatlah kain-kain penutup ini."
Tidak semena-mena, pintu yang terkatup rapat itu terbuka dan kain yang menutupinya terangkat. Sekumpulan anak-anak kecil yang berada di dalamnya berpaling melihatku. Aku dapati wajah anak-anak itu bercahaya.
"Lihat, musuhnya semakin dekat," jerit salah seorang daripada mereka.
Ular itu semakin rapat, sedang aku menggigil ketakutan. Anak-anak itu memerhatikanku penuh belas kasihan. Aku meneliti anak-anak itu seorang demi seorang. Tiba-tiba mataku terpaku pada seorang anak perempuan kecil. Wajahnya mirip anakku yang meninggal tidak lama dulu. Anak perempuan itu menangis melihat keadaanku.
"Wahai ayahku!" jerit anak kecil itu sambil berlari ke arahku. Benarlah, anak perempuan itu anakku! Anak itu menghulurkan tangan kirinya dan menggenggam tangan kananku. Tangan kanannya pula diacukan kepada ular itu. Serta-merta ular besar yang mengejarku sejak awal tadi lenyap dari pandangan.
Anak perempuanku itu menarik tanganku dan duduk di suatu sudut. Dia bermanja di atas pangkuanku. Sedang tangannya bermain-main dengan janggutku, anak perempuanku bersuara: "Ayah, belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mematuhi peringatan Allah serta mematuhi kebenaran yang diturunkan kepada mereka?"
Sebaik sahaja mendengar sepotong ayat yang dibacakan olehnya, hatiku tiba-tiba ditusuk penyesalan yang amat dalam. Tanga disedari air mata pun mengalir.
Kata-kata yang dituturkan oleh anak perempuanku itu adalah firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 16 iaitu: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).
Aku merenung anak itu dan bertanya, "Wahai puteriku, apakah kamu memahami kandungan al-Quran?"
"Ayah, kami mengerti isi al-Quran lebih daripada apa yang diketahui olehmu," jawab anakku.
Aku memandang anakku dan berkata, "Ceritakanlah kepada ayah mengenai ular besar yang mengejarku sebentar tadi."
"Itu adalah dosa-dosa yang telah ayah kerjakan sehingga menjerumuskan diri ke dalam neraka jahanam," jawab anak kecil itu.
Lalu aku bertanya pula padanya tentang lelaki lelaki tua yang kutemui ketika lari daripada ancaman ular tersebut.
"Itu adalah aural soleh yang ayah lakukan dan telah diterima oleh Allah, tetapi tidak cukup untuk melepaskan ayah daripada balasan Allah. la hanya dapat membantu ayah melepaskan diri daripada kesusahan ini," begitu jawab anak perempuanku.
Aku bertanya lagi tentang apa yang dilakukannya di atas gunung ini.
"Kami adalah anak orang-orang Muslim. Kami ditempatkan di sini sehingga hari kiamat dan menunggu mereka datang, dan kamilah yang akan memohon kepada Tuhan untuk melepaskan mereka daripada seksaan," jawab anakku.
Sejurus anak itu mengakhiri kata katanya, aku tersedar daripada tidur. Perasaan yang takut menyelubungiku. Mimpi itu telah memberi keinsafan abadi buatku.
Bejana arak yang masih tersepah di tempat pembaringan itu kucapai. Airnya kucurahkan ke tanah. Bejana-bejana itu kupecahkan. Dari saat itu aku memohon keampunan kepada Allah atas segala perbuatan yang sia-sia dan dilaknat oleh-Nya. Oh Tuhan... aku bertaubat.
***********************************
Moga kita semua dapat mengambil iktibar kisah ini...
0 comments:
Post a Comment